klik sini

Sunday, January 6, 2013

AKHLAK

1.Angan Kosong Perkara Sia-sia

 Daripada Abdullah (Ibnu Mas’ud) RA katanya: Rasulullah SAW membuat satu garisan berbentuk segi empat. Kemudian baginda menggariskan satu garisan dari tengah sehingga keluar dari rajah segi empat tersebut. Kemudian Baginda membuat garisan kecil dari garisan tengah tersebut. Baginda bersabda; "Ini adalah (gambaran) manusia. Garisan segi empat ini ialah ajal maut yang melingkungi manusia. Garisan yang terkeluar itu ialah angan-angannya. Garis-garis kecil pula adalah musibah dan ranjau kehidupannya. Jika terlepas dari yang ini, yang lain pula menggigitnya, jika terlepas dari yang ini, yang lain pula menggigitnya.


2.Hubungan Silaturahim dengan Ibu Bapa Berlainan Agama

 Daripada Asma’ binti Abu Bakar as-Siddiq R.huma katanya, ibuku telah datang ke tempatku sedang dia masih dalam syirik pada masa hayat Rasulullah SAW. Lalu aku pergi meminta fatwa kepada Rasulullah, aku berkata kepadanya, ibuku telah datang kepadaku sedangkan dia inginkan sesuatu daripadaku (untuk meminta sesuatu) bolehkah aku menghubunginya? Jawab Rasulullah, “Ya, hubungkan ibumu”.


3.Berbakti Kepada Ibu Bapa Adalah Segala-segalanya

 Dan daripada Abdullah bin ‘Amru al-‘As katanya, “Seorang lelaki mengadap Rasulullah lalu berkata, “Aku mengikat janji dengan engkau untuk turut serta berhijrah dan berjuang (jihad) untuk menuntut ganjaran pahala daripada Allah Taala”, Rasulullah bertanya, “Adakah salah seorang orang tuamu masih hidup?”,jawabnya, “Ya, bahkan kedua-duanya masih hidup”. Rasulullah bertanya lagi, “Engkau mahukah menuntut pahala daripada Allah Taala?” Jawabnya, “Ya”. Kata Rasulullah, “Pulanglah kepada kedua-dua ibu bapamu dan berbuat baiklah (berbaktilah) kepada kedua-duanya”.


4.Hubungan Silaturahim Sebenarnya

 Daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As daripada Nabi SAW sabdanya, “Bukanlah penghubung orang yang hanya menghubung atau mengeratkan hubungan orang yang sedia menghubunginya sahaja, tetapi yang dikatakan penghubung ialah orang yang mengeratkan hubungan silaturahim yang telah terputus”.


5.Silaturahim Memanjangkan Umur dan Murah Rezeki

 Daripada Anas RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang suka diluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan silaturahim”.


6.Orang Yang Memakan Debu Panas

 Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku mempunyai kaum kerabat yang aku eratkan hubunganku dengan mereka tetapi mereka memutuskan, dan aku berbuat baik dengan mereka tetapi mereka membuat jahat kepadaku, aku berlemah lembut dengan mereka tetapi melakukan kekasaran terhadap aku”. Maka jawab Rasulullah, “Jika benarlah apa yang engkau katakan itu maka seolah-oleh engkau memberi makan abu panas (mereka melakukan dosa besar) dan Allah sentiasa bersama engkau memberi pertolongan selagi kamu mengekalkan sifat-sifat kamu”.


7.Berbakti Kepada Ibu Bapa

 Daripada Abu Hurairah RA juga daripada Nabi SAW sabdanya, “Hinalah kemudian, hinalah kemudian, hinalah (bagi) mereka yang sempat hidup bersama dengan salah seorang daripada ibu bapanya atau kedua-duanya sekali ketika mereka tua sedangkan dia tidak dapat masuk syurga” (dengan sebab itu)”.


8.Pengorbanan Ibu Bapa Tidak Ternilai

 Daripada Abu Hurairah RA katanya, sabda Rasulullah SAW, “Tidak terbalas jasa seorang anak terhadap orang tuanya melainkan apabila dia mendapati orang tuanya menjadi hamba, lalu dibeli dan dimerdekakannya”.


 9.3 Perkara Yang Disukai Allah

 Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud RA katanya, “Aku bertanya kepada nabi SAW, apakah amalan yang paling Allah suka?” Jawab Nabi SAW, “Mengerjakan sembahyang dalam waktunya”. Aku bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawabnya, berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa”. Aku bertanya lagi, “Kemudian apa?” Jawabnya, “Jihad untuk menegakkan agama Allah”.


10.Sebaik-baik Sahabat dan Jiran 

Daripada ‘Abdullah R.huma katanya, sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik sahabat disisi Allah ialah yang terbaik hubungannya dengan sahabatnya dan sebaik-baik jiran disisi Allah ialah yang terbaik hubungannya dengan jiran tetanggannya”.

No comments:

Post a Comment

iklan