klik sini

Sunday, November 14, 2010

Gunung Berapi


Persekitaran atau pun alam sekitar adalah perkara yang berkait dengan semua isi perut di muka bumi atau benda hidup di muka bumi iaitu manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan termasuk gunung-gunung, bukit-bukau, sungai, udara dan sebagainya. Kesemua hidupan di muka bumi ini adalah berkait ataupun bergantung sesama sendiri. Bagaimana proses kebergantungan ini berlaku? Manusia memerlukan makanan, air yang bersih dan udara untuk hidup. Kita menggunakan 50 peratus daripada tanah di muka bumi untuk pengeluaran makanan dan 50 peratus daripada bahagian muka bumi untuk mendapatkan air bersih. Manakala hidupan lain di bumi ini seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan dan hidupan laut turut berkait dengan hidupan lain dan ia diapnggil ekologikal sistem. Di dalam ekologikal sistem ini, semua hidupan di muka bumi ini memainkan peranan penting kepada manusia seperti mengeluarkan makanan, air bersih dan memberi oksigen untuk manusia bernafas. Namun begitu, dalam hubungan manusia dan alam sekitar, satu perkara atau isu yang akan wujud iaitu pencemaran. Manusia adalah punca utama kepada kemusnahan alam sekitar.


Dalam membincangkan perkara mengenai alam sekitar, kita tidak dapat lari dengan isu pencemaran. Arus pembangunan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju telah mencetuskan pelbagai situasi. Pembangunan pesat sektor ekonomi dan perindustrian serta kestabilan politik dan sosial telah memberikan taraf hidup yang selesa kepada rakyat dan menaikkan imej negara di kaca mata dunia. Namun begitu disebalik keselesaan dan pembangunan tersebut kita terpaksa menanggug risiko yang akan memberi kesan dan memudaratkan kehidupan masyarakat.

Sekiranya kita lihat fenomena pada hari ini, bencana berlaku secara tiba-tiba, banjir berlaku tidak bermusim, tanah runtuh dan kemarau dan jerebu yang berlaku hampir sepanjang tahun. Perkara ini adalah berpunca daripada alam sekitar yang tercemar akibat ketaksuban manusia dalam mengejar arus pembangunan dan permodenan. Isu pencemaran merupakan isu global yang perlu dibincangkan, difikirkan dan ditangani bersama-sama diperingkat antarabangsa. Ini adalah kerana masalah pencemaran yang berlaku di seluruh dunia ini pernah, sedang dan akan dialami oleh semua negara. Justeru itu, langkah-langkah bijak perlu dirancangkan bagi mengatasi masalah ini.

Jika kita teliti punca-punca masalah alam sekitar, kita mendapati bahawa kebanyakannya disebabkan oleh permintaan manusia terhadap hasil keluaran industri. Ini membawa kepada maslah tekanan terhadap keupayaan bumi membekalkan ruang dan sumber untuk permintaan ini. Tekanan terhadap alam sekitar terdiri daripada dua bentuk iaitu tekanan daripada permintaan terhadap sumber asli seperti bahan api, air dan juga tanah. Tekanan yang kedua ialah sisa industri yang mencemarkan udara dan persekitaran. Ini menyebabkan berlakunya pencemaran serius secara global seperti kesan rumah hijau, pemusnahan ozon dan hujan asid.


Pencemaran ialah pengumpulan bahan-bahan yang tidak sesuai kepada kehidupan di persekitaran kita. Bahan-bahan yang tidak sesuai ini dipanggil bahan-bahan pencemar. Terdapat berbagai cara pencemaran boleh berlaku. Tetapi ianya terbahagi kepada dua jenis iaitu pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi dan pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia. Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi adalah pencemaran yang berlaku dengan sendirinya setelah berlakunya bencana alam seperti letusan gunung berapi, dilanda ribut taufan, gempa bumi dan sebagainya. Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi banyak memberi kesan kepada kerosakan harta benda. Sebagai contoh kejadian letusan gunung berapi yang berlaku di Indonesia iaitu Gunung Merapi. Lahar yang dikeluarkan oleh gunung tersebut telah memusnahkan kediaman penduduk dan kemudahan infrastruktur di kawasan terlibat.

Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia adalah pencemaran yang dilakukan oleh manusia sama ada sengaja atau tidak disengajakan. Manusia mengguna dan menyesuaikan diri dengan unsur-unsur alam semulajadi seperti hutan, bahan galian,air,udara,tanah,sumber-sumber laut dan bahan api menerusi proses pengeluaran. Proses-proses pengeluaran ini berkait rapat dengan sistem ekonomi serta perkembangan dan pertumbuhannya. Sikap memandang sesuatu dari perspektif keuntungan menimbulkan sifat mengeksploitasi alam sekitar tanpa memperkirakan kepupusan sumber-sumber alam semulajadi.

Hutan memang mempunyai nilai kormesial dalam ekonomi negara. Hutan didapati membekalkan kayu balak dan kertas yang merupakan satu sumber penting bagi pendapatan matawang asing. Penukaran tanah dari hutan kepada pertanian telah mengakibatkan berlakunya penebangan hutan secara meluas. Aktiviti ini telah mengurangkan jumlah hutan asal dan biodiversiti hutan dan hidupan liar. Eksploitasi hutan yang melampau untuk tujuan pembalakan dan sebagainya telah menyumbang kepada hakisan tanah, pemendapan, kerosakan cerun dan tanah runtuh di Malaysia. Penebangan hutan yang berterusan dan kemusnahan hutan di kawasan tadahan air akan menjejaskan bekalan air dan kualiti sumber air, menjejaskan kemampuan pengambilan semula air bawah tanah dan menyebabkan lebih banyak banjir di kawasan tanah rendah.

Contohnya banjir yang melanda beberapa kawasan seperti India, Bangladesh dan kawasan-kawasan Asia yang lain telah mengurangkan sumber air sungai yang bersih untuk kegunaan sehari-hari dan memusnahkan hasil-hasil tanaman yang lain. Kesannya pula, kerajaan negara tersebut terpaksa membelanjakan kira-kira RM140 juta hingga RM750 juta sebagai perbelanjaan banjir. Di Malaysia, beberapa peristiwa yang boleh dianggap sebagai tragedi hitam seperti tragedi Pos Dipang di Kampar, Perak dan tanah runtuh di Genting Highlands dan beberapa lagi peristiwa yang telah mengorbankan banyak nyawa didapati berpunca daripada sikap manusia yang mementingkan keuntungan melalui cara meminimumkan kos ataupun disebabkan kejahilan manusia dalam pengurusan alam sekitar.

Akibat daripada pencemaran alam sekitar, kesihatan manusia turut terjejas. Justeru itu, wujudnya krisis wabak-wabak penyakit yang ganjil dan serius. Hal ini berlaku akibat daripada pencemaran udara yang berlaku kesan daripada kecanggihan teknologi pembuatan kenderaan bermotor yang menimbulkan banyak masalah seperti pencemaran udara, pencemaran bunyi, kerosakan alam dan hidupan semulajadi. Contohnya plumbum, sejenis bahan kimia yang sangat beracun yang terhasil melalui penggunaan kenderaan bermotor. Unsur ini boleh menyebabkan kerosakan otak terutamanya di kalangan kanak-kanak.Apabila kita menarik nafas, udara yang tercemar memasuki badan dan menjejaskan kesihatan kita. Debu-debu dan gas-gas beracun daripada kilang-kilang dan penyemburan racun serangga menyebabkan penyakit jika disedut. Di Teluk Minamata, Jepun, pencemaran toksid yang masuk ke dalam air menyebabkan simptom kebas-kebas, sakit kepala, kabur penglihatan dan penuturan yang tidak betul. Sesetengahnya berakhir dengan kelumpuhan dan ada yang menemui maut. Simptom yang disebabkan oleh keracunan raksa ini telah menyerang beratus-ratus keluarga nelayan dan dikenali sebagai penyakit Minamata.

Kesan daripada pencemaran yang berlaku bukan sahaja dialami oleh manusia bahkan turut memberi kesan kepada hidupan lain. Antara kesan pencemaran yang banyak membunuh organisma laut di perairan cetek ialah kesan daripada tumpahan minyak ke laut. Apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak berhampiran persisiran pantai ia membentuk lapisan minyak yang mengancam kehidupan laut serta burung. Tumpahan tersebut juga turut menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton. Di samping itu, minyak yang tertumpah ke laut menghalang kemasukan udara ke dalam air laut menyebabkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang hidup di dalam laut tidak dapat bernafas dan akan mati.

Semakin hari bumi semakin tercemar. Pencemaran semakin menjadi-jadi. Meskipun pelbagai langkah telah diambil namun semunya hanya dasar di atas kertas tanpa mendapat sambutan dan dipraktikkan oleh pelbagai pihak. Malah di dalam dasar wawasan 2020 sendiri telah menerangkan bahawa di dalam melayari arus pembangunan ekonomi, Malaysia akan memastikan sumber alam semulajadi tidak akan dipersia-siakan. Justeru itu, kita perlu sama-sama menggerakkan masyarakat, ibu bapa, guru-guru, majikan, Badan Bukan Kerajaan, agensi-agensi kerajaan dan swasta agar proaktif dan sistematik serta berterusan dalam memberikan bimbingan dan dorongan serta contoh kepada generasi muda akan datang yang akan mentadbir bumi kelak untuk menjaga alam sekitar.

Seperti firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 41: "Berlakulah kerosakan (bencana) di daratan dan lautan oleh kerana tangan manusia sendiri., sehingga Allah menimpakan kepada mereka sebahagian azab daripada perbuatan mereka itu, agar mereka kembali kepada jalan yang benar(bertaubat)”.

Malaysia yang dianugerahkan oleh Pencipta Alam dengan alam yang bersih, indah dan selamat akan menjadikan warga Malaysia sebagai manusia yang sihat, ceria dan tenteram.

No comments:

Post a Comment

iklan